Hutan dan Komuniti: Isu pembalakan dan implikasinya terhadap sosiobudaya komuniti Lundayeh di hutan Long Pasia

1.0 Pengenalan

Isu pembalakan bukan satu perkara baru di Sabah. Isu ini telah lama berlaku mengakibatkan kemusnahan hutan dan habiat disekitarnya. Kegiatan pembalakan yang tidak mapan dan perkembangan pesat dalam pertanian komersial menjadi punca utama kepada penebangan hutan. Penggondolan hutan menjadi punca utama berlakunya kemerosotan kualiti udara akibat daripada jerebu dan berlakunya perubahan cuaca yang mendadak dikenali sebagai ‘pemanasan global’. Menyedari betapa seriusnya isu pembalakan yang kini mengancam kehidupan komuniti hutan, kami mengambil inisiatif untuk melakukan kajian secara tinjauan dan pemerhatian sendiri implikasi kemusnahan hutan terhadap komuniti dan alam sekitar. Dalam kajian ini kami telah memilih komuniti Lundayeh di Long Pasia.

Terletak di persempadanan tiga segi antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan Timur, terdapat suatu kawasan yang dikenali sebagai Ulu Padas. Di sinilah letaknya dua buah kampung, iaitu Long Mio dan Long Pa’ Sia’. Suku yang menetap di sini ialah suku Lundayeh. Mereka mempunyai sejarah dan legenda yang sama dengan masyarakat Lundayeh yang tinggal di dataran tanah tinggi Krayan-Kelabit di Kalimantan Timur, Indonesia, dan di daerah Lawas, Sarawak. Di sini mereka dikenali sebagai Lun Bawang.

Suku Lundayeh mempunyai lagendanya yang tersendiri. Legenda ini ialah mengenai seorang yang kuat, gagah perkasa dan mempunyai kuasa ghaib. Namanya ialah Upai Semaring, yang mereka anggap sebagai seorang manusia luarbiasa dan nenek moyang mereka. Pada zaman dulu, kalau seseorang berjaya memancung kepala musuhnya, ia dianggap sebagai satu kejayaan besar. Sekembali dari peperangan, dia akan mendirikan sebatang kayu yang penuh dengan hiasan di atas sebuah tugu yang dibuat dalam bentuk buaya ataupun naga (darung). Tugu itu diperbuat daripada tanah.

Kedua-dua binatang ini dianggap sebagai binatang yang paling bengis dan kuat. Itu sebab suku Lundayeh membuatnya sebagai simbol musuh yang diserang. Kemuncak up-acara itu ialah apabila tuan rumah menunjukkan kekuatan dan kegagahannya kepada tetamunya dengan menetak belakang buaya (ulung buayeh) itu dengan pedangnya. Upacara beramai-ramai di sekeliling tugu itu akan berterusan untuk beberapa hari, di mana para tetamu menyanyi dan menari sambil minum burak.

Suku Lundayeh menganggap Ulu Padas sebagai satu daripada kawasan asal-usul mereka. Pada zaman silam mereka membina rumah panjang berdekatan dengan hutan, terutama sekali di hulu Sungai Matang dan anak-anak sungai yang mengalir ke dalamnya. Suku Lundayeh adalah suku yang sangat ditakuti kerana kegagahan, keberanian dan kekuatan mereka berperang dengan jiran-jiran mereka. Kehidupan mereka dikuasai oleh satu sistem kepercayaan menghubungi dewa-dewa dan roh-roh melalui binatang-binatang seperti burung, ular dan lain-lain. Kepercayaan seperti ini sudah pupus setelah suku seluruh suku Lundayeh menerima ugama Kristian sebagai ugama mereka kira-kira seratus tahun yang lalu. Para penginjil telah datang ke Ulu Padas dalam tahun 1930an dan mengubah kepercayaan mereka.

Hutan Long Pasia di Ulu Padas merupakan antara hutan yang tertua di kepulauan Borneo. Komuniti Lundayeh yang mendiami kawasan ini bergantung kepada hutan sebagai sumber makanan seperti binatang buruan, buah-buahan,ubat-ubatan tradisional,kayu api dan sebagainya.

Menurut Fung (2006) yang melakukan kajian terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan habitat di kawasan berkenaan mendapati bahawa hutan ini terancam oleh pengaruh luar yang merosakkan,termasuk penebangan dan pembalakan yang tidak terurus. Hutan ini juga amat terpencil, dan tidak dapat diakses dengan komunikasi moden. Projek yang ditaja oleh WWF Malaysia ini juga mengenalpasti peranan komuniti amatlah penting bagi mengoptimumkan perlaksanaan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan habitatnya untuk mencapai objektif pengurusan hutan yang lestari.

2.0 Objektif Kajian
2.1 Untuk mengkaji kesan kemusnahan hutan terhadap habitat dan sumber ekonomi komuniti Lundayeh
2.2 Untuk mengenalpasti implikasi pembangunan dan transformasi terhadap sosiobudaya dan identiti komuniti Lundayeh
2.3 Untuk melihat sejauhmana inisiatif kerajaan dapat mempertingkatkan taraf hidup komuniti Lundayeh

3.0 Sorotan Literatur
Ulu Padas ialah hulu Sungai Padas, kawasan seluas 80 000 hektar yang terletak di bahagian selatan Sabah. Ia adalah kawasan pergunungan yang curam dengan ketinggiian di antara 915 – 2070 meter dan ianya kekal sebahagaian daripada hutan negeri Sabah yang tua dan luas. Menurut Vaz (1999) kerisauan penduduk tempatan terhadap pembalakan yang dijalankan di sekitar Hutan Simpan akan mengancam kehidupan mereka kerap diutarakan dalam perbincangan formal dan tidak formal. Vaz (1999) yang mengetuai satu projek WWF-Malaysia untuk menyokong usaha pemuliharaan hutan hujan Ulu Padas yang melibatkan komuniti kaum Lundayeh di kawasan ini. Menurut beliau, bertahun lamanya status pemilikan tanah yang tidak menentu telah menjadi satu faktor yang signifikan kepada pengurangan hutan. Kajian dilakukan adalah bertujuan untuk mendapatkan potensi bagi mendapat ruang biodiversiti dengan kaedah mendapatkan lebih hak milik tanah bagi penduduk tempatan.

Kajian ini menunjukkan potensi gabungan tenaga di antara pengukuhan hak milik pegangan tanah dan pemuliharaan biodiversiti. Walaubagaimanapun, pengalaman kajian lapangan menunjukkan terdapat keperluan untuk mengubahsuai tanggapan masyarakat kepada komitmen penduduk tempatan terhadap usaha pemuliharaan. Sungguhpun penduduk tempatan mempunyai rasa dan keinginan yang mendalam terhadap alam sekitar mereka, namun ianya bukanlah jaminan yang memberi keutamaan kepada pemuliharaan. Perkara ini paling ketara dilihat pada tempoh perubahan sosial yang mendadak, di mana terdapat akses yang lebih mudah kepada masyarakat bandar dan sistem yang mempunyai pengaruh yang besar terhadap aspirasi tempatan yang sentiasa berubah-ubah. Perhatian yang lebih diperlukan untuk mengurus perkongsian komuniti dan pemuliharaan alam sekitar sekiranya masyarakat ingin melihat hasil yang relevan terhadap pemuliharaan alam sekitar dan aspirasi penduduk setempat kepada pembangunan ekonomi. Aktiviti pembalakan telah mengeruhkan sungai yang melalui kawasan lembah kedua-dua penempatan penduduk. “Sungai Merah” Long Pasia yang terkenal, yang airnya berwarna merah terang kesan dari tumbuhan dan dedaun hutan, kini telah bertukar menjadi keruh. Masalah banjir dan sumber hutan yang semakin berkurangan juga sering berlaku. Long Mio juga menghadapai masalah yang sama dengan Sungai Mio akibat aktiviti pembalakan di hulu sungai.

Dalam kajiannya Vaz mendapati aktiviti pembalakan yang menjadi faktor yang signifikan terhadap pengurangan sumber tradisional yang menjadi mata pencarian komuniti Lundayeh juga menyebabkan ancaman terhadap alam sekitar, aktiviti ekonomi dan kualiti hidup. Masyarakat tempatan telah beberapa kali cuba menyuarakan kebimbangan mereka kepada pihak berkuasa tetapi gagal untuk mendapatkan tuntutan bagi hak milik tanah di hutan Long Pasia menyebabkan mereka tidak berupaya dan tidak dapat mengawal pembalakan yang dijalankan. Memburukkan lagi keadaan jalan balak yang disediakan oleh Sabah Forest Industries(SFI) bagi tujuan pembalakan, mengakibatkan pihak luar turut mengambil kesempatan untuk membalak di Hutan Simpan Ulu Padas. Aktiviti ini menyebabkan kebanyakkan penduduk kampung merasa terganggu dan terancam.
Menurut Vaz beberapa kawasan tanah negeri di hutan Ulu Padas, menjadi sasaran pihak-pihak luar yang berminat untuk mendapatkan hak milik bagi tanah tersebut. Tambahan lagi, tanpa hak milikan yang sah dari kaum Lundayeh, maka tempat ini bebas untuk dimasuki oleh pelbagai pihak dari luar. Sejak pertengahan tahun 1990-an, jalan balak telah menyediakan jalan masuk bagi pemburu rekreasi dan kem-kem balak. Penangkapan ikan sungai juga dilakukan secara berleluasa menggunakan elektrik dan tuba. Dari perspektif pemuliharaan dan nilai, membantu penduduk tempatan mendapatkan hak milikan tanah bagi kawasan tersebut merupakan satu cara untuk menghalang pembalakan, memberikan pengurusan masyarakat dan membolehkan pelaksanaaan tugas pemuliharaan. Tanah Negeri Hutan Ulu Padas juga mempunyai hutan pokok kerangas yang jarang ditemui, riverine oak chestnut, dan Agathis. Semakin lewat proses untuk mendapat hak milik tanah bagi penduduk tempatan, maka semakin terbuka peluang untuk kontraktor pembalak haram membuat aktiviti pembalakan di tanah negeri.

Dalam kajian beliau satu analisis masalah telah dijalankan dalam fasa projek pada tahun 1999 mendapati bahawa komuniti tempatan ini telah berpecah belah akibat isu tuntutan hak milikan tanah ini. Walaupun terdapat sokongan yang kuat untuk mengekalkan sumber hutan dan cara hidup kaum Lundayeh, terdapat juga pihak yang ingin mendapat keuntungan yang cepat dari aktiviti pembalakan. Mereka ini menggunakan taktik dengan membuat tuntutan tanah yang telah diusahakan sejak turun temurun, tetapi pada masa yang sama, motif sebenar mereka ialah untuk mendapatkan jalan bagi memasuki tanah dan ladang, memberi kebenaran kepada syarikat pembalakan untuk menjalankan operasi di atas tanah milik mereka. Ada juga pihak yang berusaha untuk mendapatkan kawasan tanah yang luas, dengan alasan untuk memulihara tanah tersebut dari kemusnahan aktiviti pembalakan sedangkan tujuan sebenar disembunyikan oleh pihak ini.

Menurut Vaz lagi tanpa kepimpinan pusat yang baik, maka amatlah sukar untuk menjalankan apa jua tindakan bagi mengatasi masalah ini. Adalah begitu jelas sekali bahawa terdapat banyak pihak yang tidak jujur dalam mengemukakan tuntutan mereka. Penduduk tempatan juga semakin dipengaruhi oleh pihak luar yang memujuk mereka untuk mengaut keuntungan bersama. Berdasarkan dari senario ini, ramai penduduk mengarapkan agar WWF-Malaysia dapat menjadi satu entiti luar yang dapat membantu memastikan pembahagian tanah dan kawasan secara adil di kalangan penduduk dan seterusnya memastikan pemuliharaan sumber hutan. Vaz turut mencadangkan satu kaedah pembahagaian tuntutan hak milik tanah yang lebih baik dari tuntutan “tradisional” . Sekiranya tuntutan-tuntutan ini tidak didefinisikan dengan baik, maka ia pasti akan mengakibatkan pengurusan sumber hutan yang tidak cekap dan tidak akan menjamin kebajikan komuniti tempatan untuk tempoh jangka panjang.

Pengurusan masyarakat setempat mengenai sumber semulajadi mempunyai lebih keadilan sosial dan memelihara alam sekitar. Pengurusan masyarakat setempat digambarkan sebagai menyumbang kepada pengunaan sumber semulajadi dan membekalkan keperluan penduduk tempatan dengan memastikan pembahagian tanah dan sumber yang lebih baik. Selain keperluan ini, sistem pengurusan masyarakat setempat yang berfungsi perlu disokong oleh satu sistem organisasi komuniti untuk memastikan peraturan dipatuhi dan dilaksanakan dalam pengurusan sumber. Dalam kajian Vaz (1999) beliau mendapati bahawa ketiga-tiga elemen ini tidak berfungsi di Ulu Padas. Sesetengah mempertikaikan bahawa situasi ini diakibatkan oleh pihak berkuasa tempatan yang telah diketepikan dan penggunaan sumber yang tidak diuruskan dengan baik. Sekiranya polisi persekitaran adalah sesuai, maka berkemungkinan pengurusan masyarakat setempat yang baik dapat dilaksanakan. Walaubagaimanapun, situasi semasa tidak menunjukkan keyakinan terhadap pengurusan sumber oleh masyarakat setempat. Faktor yang dapat dilihat dalam keadaan ini ialah sejauh manakah kehidupan komuniti desa tersebut telah dipengaruhi pembangunan dan arus kemodenan.

Menurut Juli Edo (2002) pembangunan secara umumnya membawa maksud peningkatan kualiti kehidupan: Kualiti kehidupan yang dicapai lebih baik berbanding keadaan sebelumnya. Pembangunan boleh dicapai melalui dua cara iaitu cara berperingkat-peringkat (evolusi) atau mengejut (revolusi). Pembangunan yang berlaku secar berperingkat-peringkat dianggap lebih baik kerana peningkatan peningkatan kualiti hidup berdasarkan kebendaan berlaku seiring dengan perkembangan minda. Pembangunan seperti ini dapat menghindarkan kejutan budaya yang mengundang permasalahan “first-world facilities vs third-world mentality”. Masyarakat tidak perlu membuat penyuasaian drastik kerana keinginan (kehendak) atau keperluan terhadap perkara-perkara yang lebih berkualiti berlaku selaras dengan perkembangan minda yang timbul hasil daripada pendidikan, interaksi dan pendedahan kepada unsur-unsur pemodenan yang diperolehi melalui mediamassa dan sumber-sumber pengetahuan yang lain.

Dalam kajian beliau mengenai pembangunan dan transformasi yang berlaku melibatkan penduduk pendalaman khasnya dalam kalangan masyarakat peribumi-minoriti, mendapati bahawa putaran ganas kemiskinan dan kemunduran mengancam segelintir kumpulan minoriti ini. Sistem sokongan yang tidak kukuh memaksa kumpulan minoriti ini berkerja keras untuk memenuhi tuntutan kemodenan yang semakin rumit. Disamping membeli makanan dan keperluan asas, mereka terpaksa membayar berbagai-bagai bil, membeli peralatan rumah, perhiasan diri, barangan mewah seperti alat-alat elektrik, kenderaan dan sebagainya. Dalam masyarakat seperti ini, pendidikan lazimnya tidak berfungsi sebagai saluran untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan status sosial mereka. Dalam keadaan ini masyarakat pedalaman masih dibelenggu pelbagai kesempitan dan memerlukan sistem sokongan yang padu untuk meningkatkan kualiti hidup. Anologi seperti ini menunjukkan inspirasi dan aspirasi pembangunan yang jelas tidak bersimpang-siur di antara pembangunan dan menjurus terus ke arah jalan penyelesaian yang tulin dan politik pembangunan. Masyarakat secara umumnya akan berperasangka dan menuding jari kepada sikap pemerintah serta karenah birokrasi sebagai faktor kepada kemunduran dan keciciran mereka dalam pelbagai bidang.Tegasnya kerajaan sentiasa bersikap “telunjuk lurus, kelingking berkait” dan “ada udang disebalik batu” dalam membangunkan masyarakat pedalaman. Agenda pembangunan yang tersurat seringkali berlainan arah dengan, atau dibayangi oleh agenda-agenda yang tersirat. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan untuk menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Salah satu langkah dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar ialah melalui rancangan Buku Hijau, namun program ini dikatakan gagal membantu.

Juli Edo (2002) berpendapat bahawa masyarakat kawasan pedalaman khasnya kumpulan minoriti menghadapi terlalu banyak halangan secara langsung ataupun tidak yang membantutkan pembangunan mereka. Walaupun kumpulan ini bersemangat positif terhadap pembangunan, namun seringkali luntur akibat halangan-halangan yang sebahagian besarnya berpunca daripada pihak luar, umpamanya masalah status tanah yang tidak menentu menyebabkan mereka tidak dapat mengusahakan tanah dengan berkesan kerana tidak ada agensi-agensi pembangunan yang sanggup membantu. Selain itu sebahagian besar peruntukan untuk pembangunan adalah kecil dan terbatas pengagihannya.Keadaan ini amat merugikan masyarakat kerana mereka telahpun mengorbankan cara hidup tradisional sedangkan cara hidup baru tak kunjung tiba.

Dalam kajian ini beliau mengenalpasti empat kelemahan program pembangunan iaitu sistem yang bersifat terlalu dipusatkan, kedua program-program yang dilaksanakan terlalu umum dan khidmat sokongan susulan terlalu lemah, tiada kesungguhan untuk menyesuaikan pembangunan nasional dengan keperluan masyarakat dan keempat, sistem birokrasi yang terasing daripada komuniti orang asli.

Berdasarkan dua sorotan literatur ini kami mendapati ianya amat signifikan dengan kajian yang kami lakukan terhadap komuniti Lundayeh di hutan Long Pasia. Isu utama dalam kajian-kajian lepas ialah status pemilikan tanah. Status pemilikan tanah di kalangan penduduk Long Pasia masih belum menemui jalan penyelesaiannya. Keadaan ini menyebabkan ada pihak luar yang mengambil kesempatan seperti melakukan pembalakan haram, penebangan hutan yang tidak terurus, pencerobohan ke kawasan hutan simpan yang menjadi sumber makanan dan pendapatan penduduk, pencemaran kualiti udara, air dan sebagainya. Dalam kajian ini kami cuba mengupas bagaimana isu pembalakan ini telah secara langsung dan tidak langsung telah memberi implikasi terhadap sosiobudaya komuniti Lundayeh, dan melihat sejauhmana kerajaan telah memainkan peranannya dalam membantu meningkatkan taraf hidup mereka dan mengurangkan kesan pembalakan terhadap habitat dan alam sekitar yang kian terancam.

4.0 Isu dan perbincangan
Komuniti hutan Ulu Padas ini terdiri dari dua buah kampung yang mempunyai seramai 500 orang penduduk, berpusat di hulu sungai Pasia dan Mio . Kaum Lundayeh di Long Pasia dan Long Mio kebanyakannya menanam padi, namun penanaman tembakau, kopi, sayuran dan buah-buahan semakin meningkat. Pemburuan binatang merupakan sumber protein yang utama dan ia merupakan identiti kehidupan kaum Lundayeh.Sungai membekalkan air dan ikan, manakala hutan merupakan sumber makanan, ubatan, bahan api dan bahan binaan (bambu, rotan dan kayu-kayan). Penduduk tempatan biasanya masuk jauh ke dalam kawasan hutan terutamanya untuk mencari ubatan dan tumbuhan yang jarang dijumpai, yang hanya yerdapat di kawasan hutan yang belum tercemar (Kulip et. al 2000). Kawasan ini juga merupakan kawasan perburuan yang terbaik. Keterasingan perkampungan ini iaitu sejauh 123km mengikut jalan pembalakan dari Sipitang dan pendapatan yang bermusim menjadikan hutan ini penyelamat dan sumber kehidupan kepada penduduk tempatan.

Dari tinjauan kami menerusi kajian-kajian lepas dan pemerhatian sendiri pada 11 Oktober 2009 terhadap aktiviti pembangunan terutamanya pembalakan yang sedang giat dilakukan, ternyata ianya kini mengancam aktiviti ekonomi komuniti Lundayeh di Long Pasia yang bergantung sepenuhnya terhadap hutan ini. Ekonomi tradisional Sabah adalah berskala kecil(Mustapha 1993). Sabah mempunyai banyak ekonomi tradisional yang kecil-kecil. Setiap ekonomi itu berbeza dari segi kuantiti dan kualiti sumber alam yang digunakan, dan berbeza pula makanan utamanya. Ada ekonomi memburu dan ada ekonomi nelayan di mana kedua-dua ekonomi ini bergantung kepada persekitaran alam. Ada juga ekonomi yang mengamalkan tanaman pindah, tetapi kebanyakan dari ekonomi Sabah adalah berasaskan penanaman dan perkebunan tetap. Ringkasnya ekonomi tradisional Sabah tidak mempunyai institusi-institusi yang dapat mewujudkan interaksi sosioekonomi, identiti kebudayaan dan kesedaran bersama oleh berjuta manusia.

Teknologi ekonomi tradisional Sabah bukan sahaja berskop dan bersaiz kecil malah ianya sukar berubah dari satu generasi ke satu generasi. Sistem ini hanya mampu menyokong ekonomi sara diri untuk kelompok-kelompok kecil seperti keluarga dan kampong sahaja(Mustapha,1993). Di kawasan pendalaman Sabah di mana terdapat orang ulu,Murut, Dusun, Bisayah dan suku lain seperti Lundayeh, masyarakatnya adalah bercorak egalitarian dan demokratis dari segi pentadbiran politik dan undang-undang. Dalam masyarakat ini, kuasa untuk menentukan dan melaksanakan undang-undang tempatan diserahkan kepada orang tua-tua kampong yang bertindak secara berkelompok sebagai badan tertinggi komuniti itu.

Menurut Vaz (1999) dari perspektif pemuliharaan dan nilai, membantu penduduk tempatan mendapatkan hak milikan tanah bagi kawasan tersebut merupakan satu cara untuk menghalang pembalakan, memberikan pengurusan masyarakat dan membolehkan pelaksanaaan tugas pemuliharaan. Status pemilikan tanah dikatakan menjadi punca kegiatan pembalakan semakin berleluasa di hutan sekitar Long Pasia. Menurut laman web Sabahkini.com terdapatnya kes permohonan yang melibatkan pemalsuan peta pembalakan bagi tujuan mendapatkan lesen untuk memulakan kegiatan pembalakan, namun lazimnya mereka telah menjalankan kerja pembalakan secara haram sebelum lesen dikeluarkan dan jaminan bank disediakan. Sejauh mana kebenaranya dakwaan ini tidak dapat dipastikan namun pada pendapat kami jenayah terancang ini, jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan Sabah akan kehilangan satu-satunya hutan tertua di kawasan tanah tinggi yang masih tinggal dan amat penting untuk ekosistem dan biodiversiti.

Semasa melakukan tinjauan di perkampungan Lundayeh kami juga berkesempatan mendengar luahan hati penduduk mengenai kesukaran mereka untuk mendapatkan keperluan asas seperti bahan makanan dimana hanya terdapat satu koperasi yang menjual barangan keperluan seperti beras,gula,minyak masak dan sebagainya. Harga barangan ini dijual agak mahal berbanding di Pekan Sipitang yang merupakan Pekan yang terhampir dengan perkampungan ini. Kesukaran mendapatkan pengangkutan juga merupakan masalah utama kepada komuniti ini dimana sebahagian besar daripada mereka ini tidak mempunyai kenderaan dan hanya berharap dapat menumpang kenderaan pelancong yang datang berkunjung, ataupun kenderaan kontraktor balak yang jika secara kebetulan melalui kawasan perkampungan mereka. Jika berlaku keadaan yang tidak diingini umpamanya kecemasan dan memerlukan rawatan segera sudah tentunya kesukaran mendapatkan kenderaan dan pengangkutan akan merumitkan lagi keadaan.

Dari segi kemudahan perhubungan telekomunikasi, perkampungan ini hanya dibekalkan dengan dua buah telefon awam iaitu yang menggunakan satelit. Penduduk kampong yang ingin menggunakan perkhidmatan ini, dikehendaki untuk membeli kad telefon yang dijual oleh wakil sebuah syarikat swasta dan pemakaian adalah secara bergilir dan mengikut keperluan penduduk. Kemudahan perhubungan jalan raya pula, nampaknya ada peningkatan berbanding dulu, dimana penduduk mengambil masa seminggu berjalan kaki untuk sampai ke Pekan Sipitang, kini melalui jalan balak yang tidak beraspal penduduk hanya memerlukan tiga jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke Pekan Sipitang. Bagaimanapun pada pendapat kami kerajaan seharusnya menyegerakan projek untuk menaiktaraf jalan ini kepada jalan yang beraspal. Adalah tidak adil kepada penghuni kawasan ini dimana pencerobohan dan penebangan berlaku ke atas kawasan-kawasan hutan samaada yang dikonsesikan mahupun tidak hanya mengkayakan syarikat dan individu tertentu. Namun disebalik limpahan hasil dari sumber alam yang diekploitasi atas nama ‘Ekonomi’ telah menjurus kepada ketidakadilan sosial dengan menafikan hak capaian komuniti hutan dan masyarakat pedalaman kepada sumber asli hutan yang jelas memberikan impak terhadap penurunan kualiti hidup mereka, serta menambah jurang kemiskinan antara bandar dan kawasan pedalaman seperti Long Pasia.

5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, isu pembalakan dan implikasinya terhadap sosiobudaya kominiti Lundayeh di hutan Long Pasia seharusnya mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak yang berwajib. Pembalakan yang sedang giat dijalankan ini jelas mengancam habitat hutan, memusnahkan kawasan tadahan air dan meningkatkan hakisan tanah. Pendekatan yang lebih holistik dan dinamik diperlukan bagi mengatasi masalah penduduk dan penghuni yang bergantung kepada hutan ini sebagai sumber hidup mereka. Dalam melindungi kawasan hutan dan pemuliharaan biodiversiti perlaksanaan dasar seharusnya seperkasa objektif dasar perhutanan yang telah didokumenkan bagi memastikan perlaksanaan yang lebih telus, berkesan dan bersesuaian dengan kehendak rakyat Malaysia yang mencintai alam sekitar.

6.0 Rujukan
Mustapha hj.Mohd Jar.(1993). Sistem Ekonomi Tradisional Sabah Dlm Masyarakat dan Perubahan suntingan Mohamed Salleh Lamry (1993). Percetakan Watan Sdn Bhd.Kuala Lumpur.

Juli Edo.(2002). Retorik Pembangunan Orang Asli. Seminar Kebangsaan Pembanguanan Komuniti Anjuran Universiti Utara Malaysia (5-6 Febuari 2002).

_______.Krisis Alam Sekitar Malaysia.Diterbitkan oleh Sahabat Alam Malaysia.Jutaprint.Pulau Pinang.

Rujukan Internet:
http://www.sabahkini.net/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=2220:tubuh-unit-khas-siasat-pemalsuan&catid=41:jenayah&Itemid=56(13/10/2009)

Maria Christina Fung.(2006).Forest Habitat Conservation in Ulu Padas Sabah.

http://www.panda.org/what_we_do/where_we_work/borneo_forests/borneo_rainforest_conservation/wwf_history_borneo/(12/10/09)